Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) menawarkan kursus-kursus pengajian di peringkat Diploma yang berteraskan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Komputer.
Pengambilan pelajar perintis seramai 138 orang bermula pada sesi Januari 1999 dengan 23 orang pensyarah. Sehingga Mei 2010, bilangan pelajar telah meningkat kepada 690 orang dan tenaga akademik pula adalah seramai 53 orang.
Di samping kursus sepenuh masa, Jabatan Kejuruteraan Elektrik juga menawarkan kursus secara sambilan (part-time) di peringkat diploma bagi pelajar lepasan sijil politeknik.
JKE dilengkapi dengan pelbagai prasarana pengajaran dan pembelajaran. Antaranya ialah bangunan pentadbiran, sebuah dewan kuliah, dua blok bilik kuliah dan makmal serta dua buah bengkel. Lapan buah makmal yang canggih dan dua buah bengkel menyediakan pengalaman bekerja yang amat berharga kepada pelajar-pelajar. Makmal Perisian Komputer, Rekabentuk dengan Bantuan Komputer (CAD), Makmal Mikropepproses / Digit dan Makmal Perhubungan Data membolehkan para pelajar untuk berlatih asas komputer serta kemahiran merekabentuk perkakasan dan perisian. Makmal Peralatan dan Baik Pulih, Prinsip Elektrik dan Elektronik membolehkan pelajar memperolehi kemahiran penting dalam aplikasi elektrik dan elektronik dalam persekitaran simulatif. Selain itu, terdapat dua buah bengkel untuk melatih para pelajar dalam pendawaian elektrik. Bengkel-bengkel ini juga digunakan oleh pelajar-pelajar untuk menyiapkan projek semester akhir.
Politeknik Seberang Perai (PSP) merupakan sebuah politeknik yang terpilih bagi melaksanakan projek Robot Soccer. Projek ini diperkenalkan oleh Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Justeru, Pasukan Robot Soccer JKE telah ditubuhkan untuk memberi pendedahan awal kepada para pelajar tentang sistem robotik seperti penggunaan microcontroller, sistem komunikasi robot, pengaturcaraan robot, binaan robot dan sistem Vision. Makmal Robot Soccer juga dibangunkan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan dalam teknologi ini.
Antara kemudahan lain yang terdapat di JKE ialah CISCO Networking Academy. Program ini mula diperkenalkan di PSP sejak tahun 2003. Oleh itu, sebuah Makmal CISCO yang canggih khusus untuk kursus rangkaian CCENT / CCNA telah ditubuhkan di JKE bagi kegunaan warga PSP dan masyarakat umum.
Selain daripada itu, Jabatan Kejuruteraan Elektrik juga menyediakan prasarana seperti Anjung Bicara (Speaker’s Corner), Kiosk Keusahawanan, Bilik Gerakan JPP serta Bilik Psikologi dan Kerjaya. Ini bagi memastikan perkembangan potensi individu pelajar dapat berkembang secara holistik. Anjung Bicara (Speaker’s Corner) disediakan bagi melatih para pelajar untuk berpidato di hadapan umum, memperdengarkan bacaan doa serta sebagai wadah penyampaian maklumat daripada staf dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).
Kiosk Keusahawanan pula memberi pendedahan tentang asas-asas keusahawanan. Ini termasuk kemahiran pengurusan kiosk seperti jual beli, pengiraan modal dan keuntungan perniagaan. Bilik Gerakan JPP menyediakan kelengkapan seperti komputer dan mesin pencetak yang mana memudahkan ahli-ahli JPP bergerak secara aktif bagi melaksanakan pelbagai aktiviti yang melibatkan pelajar di Jabatan.
Unit Psikologi dan Kerjaya Jabatan menawarkan perkhidmatan kaunseling individu, kaunseling kelompok dan panduan kerjaya. Bilik Psikologi dan Kerjaya yang kondusif disediakan bagi keselesaan setiap kali sesi kaunseling dijalankan. Perkhidmatan ini disediakan kepada semua pelajar.
Bagi mengukuhkan lagi pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam bidang elektronik, Kelab Elektronik ditubuhkan untuk memberi kursus-kursus elektronik kepada pelajar.
Objektif
Objektif Jabatan Kejuruteraan Elektrik adalah untuk :
>> memberi pendidikan dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik dan
komputer melalui kurikulum yang terancang, menyeluruh dan seimbang dari
aspek teori dan praktikal.
>> menyediakan tenaga kerja lulusan diploma yang berilmu, berketrampilan,
mahir dan terlatih bagi memenuhi permintaan dan keperluan sektor awam
dan swasta selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kursus
>> Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer)
>> Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perhubungan)